Hari ini cuti.. so ambil peluang ni untuk lepak di rumah, mengemas, memasak dan mengeratkan silaturrahim bersama ahli-ahli keluarga.. Sempat juga tadi menghadiri Majlis Perkahwinan anak Encik Rosli, Pegawai JPJ yang telah diadakan di Dewan Sempam Baru yang terletak di dalam kawasan perumahan tempat saya tinggal ni.
Berbalik kepada hal lepak di rumah tadi, rasa seronok sebenarnya sebab jarang juga dapat berada sehari suntuk di rumah. Selalunya sibuk dengan tugas seharian, aktiviti-aktiviti yang diceburi dan baru-baru ni berkursus di Bera.
Awal pagi bangun, mandi dan menyediakan sarapan. Nasi goreng sebagai menu. Nasi lebihan malam tadi masih banyak dan terasa rugi jika dibuang begitu saja. Nasi goreng campur ikan bilis, telur, cili padi dan sayur sawi memang dah jadi kebiasan. Ada juga roti dan sardin untuk sesiapa yang rasa nak makan sandwich. Selesai sarapan, mula mengemas. menyapu rumah, membasuh pakaian dan yang sewaktu dengannya.
Sambil mengemas, sempat juga berborak dengan mak. Mak saya sedang mengidap pelbagai penyakit dan sekarang mengalami kesukaran untuk berjalan kerana radang sendi yang agak teruk. Saya perhatikan dia agak murung, mungin kerana menahan sakit, tetapi bila diajak bersembang dia bertukar menjadi lebih ceria. Rasanya semua orang tak kira sakit ataupun sihat, memerlukan seseorang untuk dijadikan tempat meluahkan perasaan. Jika kita tidak berkomunikasi, kita akan terasa lemah semangat, jadi saya suka nak memberikan perhatian saya pada mak saya di saat dia memerlukan. Kita pun faham perasaan dia, mungkin beliau rasa tidak berdaya dan seolah-olah menyusahkan anak-anak. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Saya terasa bertuah kerana berpeluang menjaga mak saya ketika dia sakit.
Ketika saya menaip post ini, mak saya yang sakit dan tidak bermaya pada awalnya pagi tadi, telah merasa cukup cergas untuk berjalan dan sekarang mak berada di Dewan Taman ini untuk menghadiri Majlis Bersama Wakil Rakyat. Mak ke sana berjalan kaki bersama seorang jiran. Syukur Alhamdulilllah.. Sebelum sakit, mak saya memang seorang yang aktif dalam masyarakat. Setelah berbulan-bulan tidak keluar rumah, hari ini ada perubahan yang besar di mana beliau nampaknya menjadi segar, sihat, kuat untuk berjalan, bersemangat untuk berjumpa dengan orang ramai dan untuk itu, saya merasa amat lega.
Ya Allah yang maha besar lagi maha mengasihani..Berilah kesihatan yang baik kepada ibuku. Sembuhkanlah penyakit yang dihidapinya. Panjangkanlah umur ibuku dan ampunkanlah segala dosa-dosanya. Hanya kepadaMu Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon.. dan sesungguhnya Kau lah yang maha pengasih lagi maha penyayang.. Amin Ya Rabbil alamin..